CAP gesa kerajaan negeri campur tangan isu Pulau Tiga

Iklan
Keadaan rumah yang ditinggalkan berikutan arahan mengosongkan kediaman di Kampung Pulau Tiga, Jalan Lencongan Barat Sungai Petani.

SUNGAI PETANI - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah campur tangan menyelesaikan penempatan 30 keluarga di Kampung Pulau Tiga di sini yang diarahkan mengosongkan kediaman.

Iklan
Iklan

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, perkara terbabit perlu diberi perhatian serius kerana menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk yang hilang tempat tinggal setelah mendakwa mendiami kawasan itu kira-kira 40 tahun lalu.

Menurutnya, arahan Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mengosongkan tanah yang diduduki selewat-lewatnya 3 Januari lalu, sebelum dilanjutkan kepada dua minggu setelah rundingan telah menyebabkan penduduk hilang arah.

Iklan

"Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati penduduk memohon simpati kepada pihak berwajib kerana mereka terpaksa menyewa rumah dan menumpang rumah saudara-mara.

"Ada juga yang dilihat memasang khemah bagi tujuan berteduh dan menyimpan barangan berharga sebelum rumah dirobohkan," katanya.

Iklan

Difahamkan, penduduk tidak diberikan sebarang pampasan oleh mana-mana pihak untuk mencari penempatan baharu.

Perbincangan antara wakil pemilik tanah dan penduduk Kampung Pulau Tiga pada 3 Januari lalu.

Tambah Mohideen, CAP bersimpati dengan nasib penduduk dan berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Pulau Tiga, Saheme Hashim berkata, pihaknya memohon ihsan kerajaan negeri agar dapat membantu penduduk yang diarahkan berpindah.

Pada 19 Disember tahun lalu, penduduk menerima notis arahan dari Mahkamah Tinggi supaya mengosongkan tanah sebelum 3 Januari lalu.

Ini kerana kawasan Kampung Pulau Tiga, dekat Jalan Lencongan Barat, seluas 44.2 hektar itu adalah milik seorang individu bergelar Datuk.

Bagaimanapun hasil perbincangan penduduk bersama wakil pemilik tanah pada 3 Januari lalu, tarikh pengosongan rumah dilanjutkan sehingga dua minggu lagi.

Ia berikutan terdapat kira-kira 30 keluarga masih kekal di kawasan terbabit kerana tidak berkemampuan menyewa atau berpindah ke lokasi baharu.