KUALA LUMPUR - Wanita UMNO menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang, Johor.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pesalah perlu diheret ke muka pengadilan serta menerima hukuman sewajarnya.
"Malah sehingga kini, suspek kes pencemaran tersebut masih dilindungi identitinya dan tidak didedahkan oleh kerajaan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Wanita UMNO menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab serta mengheret pesalah ke muka pengadilan dan menerima hukuman sewajarnya.
"Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini telah mengancam nyawa rakyat khususnya nyawa anak-anak tidak berdosa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Wanita UMNO juga kecewa dengan Kementerian Pendidikan yang seolah-olah bersikap sambil lewa ke atas tahap keselamatan dan kesihatan guru di SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih.
"Mereka diarahkan hadir sesi gotong-royong di sekolah pada 10 Mac di mana pada waktu itu kawasan tersebut masih lagi tercemar dengan gas toksik.
"Pemilihan kontraktor pembersihan juga lambat dilaksanakan iaitu pada 12 Mac, enam hari selepas penemuan pencemaran sisa kimia dan tindakan sedemikian jelas lambat dan diperakui oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, Wanita UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di Johor ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk memberikan bantuan.