APABILA kita bertemu seseorang terutama sahabat yang sudah lama tidak ditemui, sudah tentu kita akan bertanya khabar bukan?
Adakalanya sedar atau tidak, kita akan berceloteh panjang dengannya.
Namun, jika kita bertemu sahabat ini di masjid secara kebetulan, bolehkah kita kita bersembang panjang dalam rumah ALLAH?
Menjawab persoalan ini, adalah diharuskan bercakap berkaitan perkara-perkara yang harus dan ia bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan.
Dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin Samurah RA, beliau berkata:"Rasulullah SAW tidak bangun dari tempat di mana Baginda lakukan solat Subuh hingga terbit matahari. Apabila terbit matahari, Baginda bangun dan mereka bersembang tentang perkara jahiliyyah sehingga ketawa sedangkan Nabi SAW hanya tersenyum." (Riwayat Muslim)
Perbualan di dalam masjid harus selagi ia tidak mengganggu orang yang beribadah di dalam masjid tersebut.
ALLAH SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan perkataan atau perbuatan yang tidak mensia-siakan.
Masjid mempunyai tujuan khas untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
Maka hendaklah sentiasa menjaga kehormatan masjid dan bukan seperti di pasar.
(Sumber: Al-Kafi #1072: Hukum Berbual di Dalam Masjid, Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)