PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Empat Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 (PPV) Integrasi dikenal pasti bagi meningkatkan kapasiti pemberian dos vaksin di Lembah Klang.
Ia melibatkan PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah, Alam, dan Soka Gakkai, Klang yang akan beroperasi pada 15 Januari ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Menurutnya, semua aktiviti pemberian dos penggalak akan dilakukan melalui janji temu yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).
"Bagaimanapun, individu boleh menghubungi PPV swasta (GP) yang disenaraikan di dalam laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar di dalam senarai menunggu klinik berkenaan," katanya.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu, sistem pelaporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) menerima 24,042 laporan termasuk 812 kes membabitkan dos penggalak vaksin Covid-19.
"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 38 laporan yang diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 0.007 laporan bagi setiap 1,000 dos," katanya.
Katanya, pemonitoran AEFI terus dijalankan semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi dos penggalak (PICK-B).
"Sejak mulanya PICK sehingga 31 Disember 2021, sejumlah 57,119,777 dos vaksin Covid-19 telah diberikan termasuk 5,719,456 dos penggalak," katanya.