NEW YORK - Kes pertama jangkitan selesema dan Covid-19 secara serentak atau Flurona telah dikesan pada dua kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).
USA Today melaporkan kes tersebut dilaporkan di Texas dan California Selatan.
"Kes pertama melibatkan pediatrik itu didiagnos di Hospital Kanak-kanak Texas pada Isnin. Kanak-kanak tersebut bagaimanapun tidak dirawat di hospital," jelas laporan itu sambil menambah tiada butiran lanjut tentang pesakit berkenaan.
Hospital Kanak-kanak Texas yang mengesahkan jangkitan serentak itu kini sedang bekerjasama dengan pakar perubatan lain di seluruh negara untuk melakukan penyelidikan lanjut.
Hospital tersebut juga kemudahan kesihatan pertama melaporkan jangkitan Covid-19 dan respiratory syncytial virus (RSV) pada musim panas lalu.
Sementara itu, kes kedua dikenal pasti di Brentwood, California pada Sabtu lalu di sebuah pusat ujian saringan Covid-19 bergerak.
Maklumat awal yang diperoleh mendapati pesakit dari Cabo San Lucas, Mexico itu sedang bercuti di AS bersama keluarganya.
"Kanak-kanak itu menunjukkan simptom, namun tidak serius dan tidak memerlukan rawatan di hospital," lapor rangkaian TV, KVEA pada Rabu memetik kenyataan jurucakap pusat ujian 911 Covid, Steve Farzam.
Difahamkan, kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak masih rendah berikutan hanya 803 rakyat Amerika berusia kosong sehingga 18 tahun meninggal dunia akibat wabak tersebut antara musim bunga 2020 dan 29 Disember 2021.
Kes positif itu dilaporkan beberapa hari selepas jangkitan pertama Flurona dikesan pada seorang wanita di Israel yang turut mengalami gejala ringan.
Susulan itu, pihak berkuasa kesihatan di Tel Aviv kini sedang melakukan kajian lanjut terhadap kes tersebut untuk menentukan sama ada jangkitan serentak tersebut akan menyebabkan penyakit lebih teruk. - Agensi