PELUANG kedua masih lagi terbuka buat atlet kebangsaan yang gagal disenaraikan ke dalam program latihan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tahun ini, kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Bagaimanapun, Ahmad Shapawi berkata, atlet terlibat perlu membuktikan mereka benar-benar layak untuk kembali mengikuti program latihan MSN tahun ini selepas nama mereka digugurkan sebelum ini.
"Peluang wujud kepada semua atlet dan sentiasa terbuka selagi mereka mampu membuktikan untuk memberi pulangan yang setimpal dengan pelaburan dilakukan kepada mereka.
"Malah kita ada beberapa atlet olahraga yang dikhabarkan mahu cuba membuktikan mereka masih terbaik bukan sahaja di dalam negara tetapi di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika sidang akhbar di sini, pada Rabu.
Justeru, Ahmad Shapawi percaya bukan sahaja MSN, malah persatuan sukan yang diwakili mereka juga bersedia menerima kepulangan semula atlet ke dalam program latihan, seterusnya membantu mengasah bakat para atlet sehingga mencapai prestasi tertinggi.
Pada Rabu, beliau memaklumkan peruntukan terhad diberikan MSN menyaksikan badan induk sukan itu terpaksa mengurangkan jumlah atlet dalam program latihan dengan menawarkan 248 berbanding 432 tempat tahun lepas kepada atlet biasa manakala 45 tempat untuk atlet para berbanding 114 tempat untuk mengikuti program ditawarkan.
Seramai 178 atlet pelapis pula ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lepas manakala 22 atlet pelapis para pula diberi peluang untuk menikmati program latihan selepas tiada kuota ditawarkan kepada mereka sebelum ini.
Beliau pada masa sama turut mengalu-alukan inisiatif persatuan sukan yang mencari penajaan pihak luar dan tidak bergantung kepada dana kerajaan semata-mata demi kelangsungan atlet termasuk memastikan mereka mempunyai peruntukan tambahan untuk pembayaran elaun.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih terhadap jasa serta keringat bekas atlet terjun kebangsaan yang juga juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong dalam mengharumkan nama negara susulan persaraannya Selasa lepas (4 Januari) selain menyatakan kesediaan membantu ratu terjun itu dalam merencana perjalanan masa depannya selepas ini.
"Kita amat hargai sumbangan Jun Hoong dan harap beliau berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan di MSN dan juga Institut Sukan Negara selama ini,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Shapawi menyarankan agar pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern untuk berbincang bersama Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) apabila dilaporkan tidak berpuas hati selepas namanya ‘tercicir’ dalam program latihan MSN tahun ini.
Sementara itu, Pengarah SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, pintu masih terbuka untuk Wee Wern kembali ke program latihan sekiranya dia mempamerkan beberapa prestasi yang baik dalam kejohanan akan datang. - Bernama