TAWAU - Seorang lelaki yang juga bapa kepada tiga orang anak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, setelah didapati bersalah memiliki dadah methamphetamine seberat 169.60 gram tiga tahun lalu.
Hakim Lim Hock Leng membuat keputusan itu terhadap Matin Sahid, 34, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tertuduh yang merupakan seorang penganggur hanya tunduk diam sambil menitiskan air mata ketika hukuman itu dijatuhkan hakim.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan menampilkan tiga orang saksi manakala pembelaan hanya menampilkan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Karim.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Oktober 2018 di Kampung Mangga Kalabakan.
Menurut fakta kes, dalam satu serbuan oleh polis di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada jam 1 petang, tertuduh bersendirian sedang leka membungkus dadah jenis syabu (methamphetamine).
Menyedari kehadiran polis, tertuduh bertindak mahu melarikan diri dan berlaku pergelutan namun dia berjaya ditahan.
Melalui serbuan tersebut, polis berjaya merampas 169.60 gram syabu, peralatan membungkus dadah seperti alat penimbang digital, straw yang diubah suai serta plastik pembungkus lut sinar.
Sehubungan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Awani