SHAH ALAM - Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) akur dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan perjalanan umrah selama sebulan, namun berharap prosedur operasi standard (SOP) ketika ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dapat diperbaiki dalam tempoh penangguhan ini.
Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, ini susulan dari pengalaman pihaknya keadaan di pintu masuk agak sesak, terutamanya pada waktu puncak ekoran terlalu ramai pengembara yang berkumpul di kawasan yang terhad untuk menjalani pemeriksaan, yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Iklan
Iklan
"Adalah menjadi harapan kami agar tempoh sebulan ini tidak dilanjutkan dan seterusnya dapat membantu agensi pelancongan menjadualkan semula perjalanan jemaah mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, memperketatkan SOP semasa ketibaan jemaah umrah adalah lebih praktikal daripada menangguhkan perjalanan ibadah tersebut, disebabkan kerugian yang akan ditanggung oleh jemaah umrah.
Saftta dianggotai 580 syarikat yang terdiri daripada agensi pelancongan, perhotelan, inapdesa, taman tema dan syarikat berasaskan pelancongan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju untuk menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari ini selama sebulan, bagi membolehkan kadar risiko penilaian jangkitan Covid-19 varian Omicron dibuat. - Bernama