GEORGETOWN - Musibah negara dilanda pandemik Covid-19 sejak penghujung tahun 2019 telah menyebabkan banyak pihak terpaksa menangguhkan beberapa aktiviti mereka terutamanya yang memerlukan bergerak secara berkumpulan.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 juga turut menyebabkan semua aktiviti terbantut.
Tidak ketinggalan, pandemik tersebut turut terkesan kepada salah satu kumpulan boria yang popular di Pulau Pinang, Kumpulan Boria Omara yang ditubuhkan sejak lebih 50 tahun lalu.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat pengasasnya, Omar Md Hashim, 67, untuk terus menghidupkan boria yang merupakan salah satu seni warisan budaya masyarakat Pulau Pinang itu.
Menurutnya, perkara pertama yang dirisaukan ketika bermulanya Covid-19 adalah semangat dalam kalangan kumpulannya luntur apabila tiada undangan persembahan pentas seperti sebelumnya.
"Apabila negara dilanda pandemik dan disusuli pelaksanaan PKP, kumpulan kami langsung tiada undangan persembahan pentas. Pada mulanya, termenung juga namun saya bangkit selepas memikirkan seni boria ini harus diteruskan.
"Perkara paling saya bimbang adalah semangat 20 ahli yang terdiri daripada anak muda berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun ini luntur. Saya bimbang mereka putus asa kerana langsung tiada jemputan persembahan pentas.
"Saya berkata pada diri sendiri, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Saya perlu buat sesuatu agar seni boria ini kekal 'hidup' walaupun apa juga cabarannya. Di samping itu, saya juga memberi semangat kepada ahli kumpulan agar jangan sesekali berputus asa," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ketika majlis pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini.
Anugerah tersebut diterima Omar yang aktif memperjuangkan seni boria di Pulau Pinang sejak hampir sedekad lalu.
Jelas anak jati Pulau Pinang ini, beliau mula mencari alternatif lain untuk terus memartabatkan seni boria kepada peminat antaranya melalui media sosial.
"Saya mencari jalan agar seni boria ini kekal 'hidup' kerana percaya, peminatnya masih ada. Oleh itu, saya telah memuat naik persembahan Kumpulan Boria Omara di media sosial antaranya Facebook, blog Omara TV Dok Mai dan YouTube Omar Hashim Omara.
"Sambutannya amat memberangsangkan apabila jumlah penonton yang melayari kesemua platform di media sosial bertambah. Syukur," katanya.
Omar yang dahulu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi selama 18 tahun di ibu kota berkata, selain memuat naik video persembahan boria, beliau juga menggunakan cara dalam talian untuk berbincang dan berlatih dengan ahli kumpulannya.
"Sepanjang hampir dua tahun pandemik melanda, memang kumpulan kami tidak dapat berjumpa secara bersemuka untuk sesi latihan. Kami hanya berlatih melalui dalam talian sahaja.
"Saya sendiri selaku ketua kumpulan akan mengarang lagu, pantun-pantun baharu untuk diberikan kepada ahli agar mereka dapat berlatih walaupun kami tidak dapat berlatih secara bersemuka. Cara itu membuatkan ahli kumpulan kami sentiasa bersemangat dan tidak putus asa sehingga hari ini dalam memperjuangkan seni boria," katanya.
Menyingkap kisahnya dahulu, bapa kepada empat orang cahaya mata itu berkata, beliau mula meminati seni boria sejak di bangku sekolah lagi.
"Saya minat boria sejak sekolah rendah dan selalu buat persembahan di majlis sekolah. Ketika itu, saya kumpul kawan-kawan yang berminat dan tubuh kumpulan sendiri. Apabila persembahan kami mendapat sambutan, dari situ datang semangat dan alhamdulillah, semangat itu ada sampai sekarang.
"Kumpulan saya banyak masuk pertandingan dan menang, itulah kenangan paling manis dalam hidup saya. Saya perlu perlahankan sedikit aktiviti boria ini sekitar tahun 70-an kerana bekerj, namun aktif semula pada tahun 80-an sehingga sekarang," katanya.
Menurut Omar, hanya pada awal tahun ini kumpulannya menerima beberapa undangan daripada stesen televisyen untuk mengadakan persembahan dan ahli kumpulannya cukup bersedia untuk tampil di khalayak umum.
"Setakat ini, saya telah terima enam persembahan program televisyen, namun jemputan persembahan pentas belum ada lagi.
"Pada waktu ini, pelapis ada, perkara itu tidak merisaukan. Bagaimanapun, sesiapa yang berminat, boleh menghubungi saya kerana kami menerima belia yang minat dengan seni boria ini. Lagi ramai, lagi bagus," katanya.
Dalam pada itu, Omar berkata, beliau yakin seni persembahan boria tidak akan pupus sekiranya ahli kumpulan aktif mendedahkan masyarakat mengenai seni budaya itu menerusi media sosial.