SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran wang i-Citra sebanyak RM10,000 lagi, ramai pihak melahirkan rasa kecewa.
Mereka kecewa dengan harapan diberikan UMNO terutama menerusi Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang hampir setiap hari memohon kepada kerajaan meluluskan pengeluaran tersebut.
Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir.
Menurut Ahmad Zahid, gesaan itu dibuat sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021.
Persoalannya, sampai bila UMNO akan terus memperjuangkan isu tersebut walaupun secara jelas Perdana Menteri tidak bercadang untuk meluluskan pengeluaran KWSP lagi. Adakah gesaan itu akan dibuat sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
Modal politik itu tidak wajar diteruskan UMNO kerana parti itu kini duduk dalam kerajaan dan Naib Presidennya ialah Perdana Menteri.
Pimpinan UMNO wajar menghormati keputusan yang dibuat Ismail Sabri dan fokus kepada isu lain yang lebih realistik untuk dilaksanakan kerajaan. Ia penting bagi mengelak persepsi rakyat terhadap UMNO bahawa parti itu memberi janji palsu.
Namun, jika benar UMNO masih mahu terus mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut, Ahmad Zahid perlu tegas dalam memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk akur kehendak parti.
UMNO perlu tegas memastikan parti itu tidak memberi harapan palsu, sekali gus mengelakkan rakyat tawar hati. UMNO perlu pilih sama ada mahu teruskan desakan pengeluaran KWSP atau beralih kepada isu lain.
Sekiranya pengeluaran berkenaan benar-benar tidak dapat dilaksanakan, pimpinan UMNO perlu berhenti memperjuangkan isu tersebut dan fokus isu bantuan yang lain.
Ketetapan itu wajar dilaksana segera bagi mengelak UMNO kehilangan sokongan pada PRU15 terutama dalam kalangan pengundi muda.