BARISAN kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus diletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih jelas dan telus sebagai satu satu mekanisme dalam menilai kebertanggungjawaban individu berkenaan.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, individu yang memegang jawatan dalam pentadbiran badan induk itu akan lebih bertanggungjawab sebagai penanda aras terhadap kejayaan atau kegagalan portfolio yang dipegang.
Malah, beliau memberitahu, KPI juga akan menjadikan seseorang individu itu dapat memahami bidang tugas dengan lebih efektif selain dapat bekerja dengan lebih tersusun dalam memenuhi sasaran yang ditetapkan.
"Saya rasa setiap pemegang jawatan dalam FAM perlu diberi satu KPI yang jelas dan bukannya kepada jawatan tertentu sahaja supaya peminat boleh sepak di luar sana boleh menilai cara kerja mereka.
"Sebab dengan adanya KPI ini, individu yang memegang jawatan itu akan lebih rasa bertanggungjawab dalam menjalankan tugas masing-masing. Jadi KPI ini haruslah lebih jelas dan telus.
"Tetapi KPI yang akan diletakkan itulah perlu realistik dengan situasi semasa. Jangan letak yang merapu sehingga seseorang tak mampu untuk buat perkara tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Cadangan KPI itu timbul susulan kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu yang menyaksikan Tan Cheng Hoe membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih.
Begitupun, ada dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia menganggap Cheng Hoe tidak harus dipersalahkan 100 peratus atas kegagalan tersebut.
Mengulas lanjut, Redzuan turut mencadangkan FAM menambahbaik Pasukan Petugas Khas Presiden atau Presidential Task Force (PTF) yang secara rasmi ditubuhkan pada 6 Mei tahun lalu.
"Apa yang saya lihat, tidak semua anggota PTF itu merupakan individu yang pakar dalam bola sepak Malaysia. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ahli korporat, ahli akademik dan pengamal undang-undang.
"Saya tidak pasti adakah PTF itu turut melibatkan mereka yang benar-benar pakar dan arif dalam bola sepak termasuklah bekas pemain kebangsaan yang berstatus legenda.
"Sebab saya percaya mereka mampu memberikan input yang berguna kepada FAM. Sekarang terpulang kepada FAM mahu terima atau tidak cadangan dan kritikan ‘orang lama’,” ujarnya.