PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola terlepas perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang sensasi Divisyen Empat Swindon Town di County Ground pada Sabtu selepas disahkan positif Covid-19, kata kelab Liga Perdana itu pada Khamis.
City berkata, Guardiola positif pada Rabu bersama penolong Juanma Lillo.
Iklan
Iklan
"Kedua-duanya kini menjalani kuarantin bersama-sama dengan beberapa kes positif lain dalam gelembung pasukan utama City," kata City dalam satu kenyataan, sambil menambah penolong jurulatih Rodolfo Borrell akan mengendalikan The Citizens untuk perlawanan di laman lawan itu.
Tujuh pemain pasukan utama dan 14 kakitangan kelab sebelum ini menjalani kuarantin selepas terpalit Covid-19, kata kelab itu lagi.
Untuk rekod, Manchester City berada di puncak Liga Perdana Inggeris dengan 53 mata selepas 21 perlawanan, 10 mata di atas Chelsea di tangga kedua, yang akan ditentang dalam perlawanan liga pada 15 Januari selepas berdepan Swindon.
Dalam perkembangan sama sebelum ini Burnley berkata, pengurus Sean Dyche terlepas perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Turf Moor menentang sensasi Divisyen Dua Huddersfield Town pada Ahad selepas disahkan positif Covid-19.
Guardiola dan Dyche adalah pengurus terbaru liga positif Covid-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas Steven Gerrard dari Aston Villa, Eddie Howe (Newcastle United), Patrick Vieira (Crystal Palace), Mikel Arteta (Arsenal) dan Juergen Klopp (Liverpool).