KUANTAN - Seorang wanita mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila wang simpanan di dalam dua akaun banknya berkurangan ekoran berlaku transaksi pembayaran melalui kad debit tanpa pengetahuannya Ahad lalu.
Suri rumah yang berusia 58 tahun itu mendakwa kedua-dua kad bank itu ada bersamanya dan dia tidak pernah menggunakannya untuk pembayaran Touch N Go dan Grab Pay seperti yang berlaku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian itu hanya disedari mangsa selepas menerima pesanan melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada pihak bank.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan terdapat transaksi pembayaran kepada Touch N Go melalui salah satu kad debitnya berjumlah RM1,000.
"Berdasarkan semakan pihak bank, terdapat tiga lagi transaksi pembayaran melalui kad debit itu berjumlah RM1,450 kepada Touch N Go dan Grab Pay pada hari yang sama.
"Hasil semakan ke atas satu lagi akaun banknya mendapati turut berlaku pengurangan wang sebanyak RM553," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian meminta kedua-dua bank berkenaan menyekat kad debit tersebut bagi mengelak ia terus digunakan pihak tidak dikenali.
"Dalam kejadian itu, mangsa sendiri tidak pasti bagaimana transaksi itu boleh dilakukan sedangkan kad bank tersebut masih ada dalam simpanannya.
"Susulan kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Khamis untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Beliau berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.