KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang provokasi terhadap hidupan liar yang tersesat semasa banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sentiasa memantau aduan orang ramai berkaitan hidupan liar termasuk ketika banjir melanda.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menghadapi masalah berkaitan hidupan liar.
"Sekiranya mengesan hidupan liar yang tersesat semasa banjir, usah buat sebarang provokasi, sebaliknya segera menjauhinya.
"Segera hubungi Pejabat Perhilitan negeri atau talian hotline 1-800-88-5151 untuk melaporkan hal demikian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Pada 3 Januari lalu, penduduk sekitar Sungai Pulau Gadong, Melaka gempar dengan kemunculan seekor buaya tembaga sepanjang tiga meter ketika penduduk berdepan musibah banjir.
Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Firdaus Mahmood berkata, pihaknya menyedari kemunculan buaya berkenaan dan kini sedang melakukan pemantauan bagi memastikan situasi terkawal.
Turut tular adalah video yang memaparkan dua ekor tapir di kawasan banjir di sekitar daerah Kuantan, Pahang pada 20 Disember lalu.
Jabatan Perhilitan Pahang kemudian menjalankan pemantauan menggunakan bot di lokasi kejadian pada hari sama dan mendapati kedua-dua haiwan tersebut telah lari ke kawasan hutan berbukit berhampiran.
Pemantauan di lokasi kejadian turut dijalankan secara berkala bagi tujuan mengesan dan menjalankan operasi pemindahan hidupan liar terbabit ke kawasan selamat.