SABAK BERNAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu diadakan segera khas bagi membincangkan mengenai musibah banjir luar biasa yang melanda negeri itu pada 18 Disember lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, sidang itu perlu diadakan memandangkan terdapat banyak kawasan di negeri ini ditenggelami banjir.
Beliau berkata, sidang itu juga bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengutarakan pandangan dan melontarkan cadangan bagi membantu kerajaan negeri Selangor mencari jalan terbaik menghadapi bencana pada masa depan.
"Saya berpandangan, di peringkat DUN Selangor perlu diadakan sidang khas berkenaan banjir kerana kita lihat pada tahun ini bencana banjir luar biasa daripada tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan kelengkapan persekolahan dua beradik di Taman Air Manis di sini pada Jumaat.
Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, sidang itu juga berupaya mendesak kerajaan negeri menyegerakan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir terlibat.
"Kita lihat dari segi penyerahan bantuan di Selangor agak kebelakang berbanding negeri lain seperti di Pahang yang dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan begitu cepat.
"Dari segi penerima sumbangan di Selangor masih berada pada peratus rendah dan sebab itu kita perlu mengadakan sidang ini untuk kita membincangkan bagaimana untuk memudahkan (bantuan terus kepada) rakyat," jelas beliau.
Menurutnya, melalui sidang DUN khas itu juga membolehkan ADUN mengutarakan aduan yang diterima mereka daripada rakyat seperti masalah saliran longkang dan kunci air rosak.
"Misalnya, banjir statik dalam tempoh lama di Taman Sri Muda berpunca akibat masalah saliran longkang dan keadaan banjir di sana amat teruk hingga menenggelamkan kenderaan dan bumbung rumah penduduk," ujarnya.
Beliau berkata, peranan jawatankuasa komuniti sama ada di peringkat kampung atau taman peringkat negeri juga mesti diperkasakan jika berlaku bencana seperti itu.
Tegasnya, peranan jawatankuasa terbabit dilihat kurang berfungsi seperti diharapkan terutama dari segi pengagihan saluran bantuan.
"Apabila berlaku bencana besar, di sinilah peranan ketua kampung, jawatankuasa taman, ahli majlis yang perlu berfungsi dengan sepenuhnya, tetapi dilihat gagal disebabkan tidak dapat kenal pasti punca banjir besar," katanya.
Justeru, beliau menyokong penuh Projek Canal City semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Pelaksanaan (Canal City) ini sesuatu perkara yang baik dan sudah tentu ia mampu atasi banjir.
"Sudah pasti semasa zaman (BN) dulu, banyak perancangan kita telah laksanakan untuk kebaikan rakyat Selangor, misalnya membina Stadium (Shah Alam), Masjid Shah Alam yang menjadi mercu tanda dan memberi kemudahan kepada orang awam sehingga ke hari ini," katanya.