Lelaki didakwa terima deposit tanpa lesen RM449,700

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen bagi tujuan pelaburan berjumlah RM449,700 dalam kejadian tiga tahun lalu.

Tertuduh, B V Jagdeep Singh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa bersetuju menerima deposit daripada Alfred C K Joseph menerusi enam transaksi bank berjumlah RM25,200 hingga RM235,000 sebagai suatu pelaburan yang mana tertuduh tidak mempunyai lesen bagi tujuan tersebut.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Bandar Nilai antara 25 Jun dan 17 Ogos 2019.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Christopher Enteri Anak Mawan, manakala tertuduh diwakili peguam Harjinder Singh Sandhu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.