PEMANDU baharu Mercedes, George Russell meramalkan saingan Grand Prix Formula Satu (F1), musim 2022 bakal menjadi rebutan antara lima pasukan melibatkan Mercedes, Mclaren, Ferrari, Red Bull dan bekas pasukannya, Williams.
Menurut pemandu berusia 23 tahun kelahiran Great Britain itu, kelima-lima pasukan berkenaan dilihat berpotensi untuk bersaing bagi merebut kejuaraan musim ini berikutan persiapan rapi yang dilakukan.
Justeru katanya, saingan musim 2022 dijangka akan menjadi lebih terbuka apabila kesemua pasukan berkenaan sudah pasti mahu mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan kemenangan.
"Bagi saya, perlumbaan F1 sudah memasuki era baharu dan akan menyaksikan pasukan-pasukan seperti McLaren dan Ferrari akan bersaing hebat dengan Red Bull dan Mercedes.
"Selain itu, psukan seperti Ferrari dan McLaren telah melalui detik sukar dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini pasti akan kembali bangkit.
"Apatah lagi setelah kedua-dua pasukan ini memiliki infrastruktur terbaik selain turut memiliki tenaga pakar dalam bidang kejuruteraan termasuk memiliki pemandu-pemandu yang terbaik untuk bersaing,” katanya.
Untuk rekod pasukan Red Bull melakar sejarah apabila muncul juara musim lalu dengan menyaksikan pelumba Red Bull, Max Verstappen turut dinobatkan selaku juara dunia.
Mengulas lalnjut, Russell berkata, pihaknya percaya musim 2021 bakal menjanjikan saingan sengit antara kelima-lima pasukan yang disebutkan tadi.
Katanya, saingan sengit berkenaan akan turut menjadikan perlumbaan musim bertambah menarik dan mendebarkan.
"Saya juga percaya perlumbaan musim ini akan menjadi perlumbaan yang sungguh mencabar terutamanya melibatkan kelima-lima pasukan tadi.
"Bagaimanapun, secara keseluruahnnya, saya berpendapat bahawa pemenang kali ini bukan ditentukan oleh kelajuan jentera yang dipandu, tetapi terletak kepada bagaimana pemandu ‘memahami’ jentera yang dipandunya sepanjang musim,” katanya.