Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Tan Sri Mohd Yusof Hitam

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia pada petang Khamis kerana sakit tua.

Isterinya, Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim berkata, Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 petang di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Arwah meninggal dunia kerana sakit tua,” katanya semasa ditemui di sebuah masjid di sini sebelum solat jenazah.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail pada jam 3 petang Jumaat.

Iklan

Sementara itu, Ahli Majlis dan pengasas bersama ADAB, Mohd Arof Ishak yang juga rakan kepada Allahyarham ketika dihubungi berkata, arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang sukar dicari ganti.

Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada tahun 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada tahun 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1986.

Iklan

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada tahun 1988 meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya pada pagi Jumaat.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya. - Bernama