RANTAU PANJANG - Meskipun Kedah turut terkesan dengan banjir, sebuah syarikat dari Sungai Petani, Kedah iaitu Al Tamim World Sdn Bhd turun padang membantu penduduk Kampung Tersang di sini dan sekitar di sini pada Jumaat yang terkesan dengan banjir termenung.
Pengarah Urusan Al Tamim World Sdn Bhd, Datuk Ku Ardanan Dollah berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan selepas terkesan dengan penderitaan penduduk setempat akibat banjir termenung seperti yang dilaporkan oleh pihak media tempoh hari.
"Saya pilih Kampung Tersang kerana difahamkan ramai yang tidak tahu kawasan ini sebenarnya teruk terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini.
"Alhamdulillah dengan bantuan dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, kerja-kerja mengagihkan sumbangan kepada penerima berjalan lancar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk Kampung Tersang yang terkesan dengan banjir pada Jumaat.
Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi.Menurutnya, bantuan bakul makanan dan kelengkapan rumah itu dianggarkan berjumlah RM40,000.
Tambah beliau, sumbangan itu merupakan bentuk perkongsian rezeki pihaknya dengan golongan yang terkesan dengan banjir.Ku Ardanan berkata, pihaknya bercadang untuk meneruskan misi bantuan ke kawasan-kawasan lain selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Ku Ardanan berkata, setiap hari pihaknya turut menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di Kedah.
Sementara itu, seorang penerima,Rahmah Che Abdullah, 65, berkata, sumbangan itu amat membantu meringankan bebannya yang terjejas dengan musibah banjir baru-baru ini.
"Saya berterima kasih atas sumbangan ini dan ia amat membantu selepas rumah kami ditenggelami banjir buat kali pertama.
"Banjir yang melanda Kampung Tersang kali ini disifatkan cukup luar biasa apabila paras air di atas rumah berada pada paras 0.6 meter," katanya.
Menurut beliau, air naik terlalu cepat menyebabkan dia dan suami tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah.habis