Rasuah punca negara gagal

Iklan
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim membacakan khutbah Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Taman Desa Mekar, Parit Buntar pada Jumaat.

IPOH - Perbuatan pecah amanah serta rasuah menjadi antara punca yang menyebabkan negara mengalami kegagalan dalam pelbagai dimensi merangkumi kepimpinan, ekonomi, sosial, pendidikan, sains dan teknologi.

Perkara itu ditegaskan dalam teks khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak.

Iklan
Iklan

Menurut khutbah tersebut, setiap perbuatan rasuah membawa kesan hiliran yang merencatkan pelbagai sektor lain kerana setiap sektor saling berangkai dan berkait.

Kebimbangan terhadap perlakuan pecah amanah dan rasuah semakin disuarakan malah rakyat berasa semakin kecewa serta bertambah hilang keyakinan terhadap kesungguhan negara untuk membasmi rasuah.

Iklan

"Usaha mencegah dan membendung rasuah tidak memberi erti dan makna jika tidak ada kesungguhan di peringkat penguatkuasaan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman apatah lagi jika imej dan reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini turut tercalar dengan aduan dan laporan salah laku dalam kalangan para petugas Suruhanjaya berkenaan yang mengakibatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kian terhakis.

"Rasuah dilihat semakin membarah, menjejaskan keyakinan pelabur, menyebabkan kurang peluang pekerjaan dan meningkatkan pengangguran akibatnya rakyat semakin derita," jelas teks khutbah tersebut pada Jumaat.

Iklan

Menurut khutbah tersebut, laporan, tangkapan, dakwaan dan isu sepanjang tahun 2021, menunjukkan keadaan rasuah di negara kita mencapai tahap yang semakin parah.

Katanya, adegan ‘suap’ dan ‘terima’, dan suapan yang bertopengkan derma seolah-olah perkara biasa dilakukan tanpa ada rasa malu dan langsung tidak menunjukkan sebarang ketakutan akan hari pembalasan di Padang Mahsyar.

Mimbar turut mengingatkan agar semua pihak yang telah diamanahkan dengan pelbagai jawatan serta tanggungjawab wajib mengamalkan budaya kerja yang bersih, jujur, tulus dan ikhlas.

Jelasnya, pada tahun 2021 negara menghadapi empat krisis utama, iaitu krisis politik, kesihatan, ekonomi dan alam sekitar dengan berlaku musibah banjir yang meragut banyak nyawa serta memusnahkan harta benda pada skala yang besar.

Sehubungan itu, pahit getir sepanjang tahun lalu itu wajib dijadikan iktibar khususnya kepada pemegang amanah kepimpinan ketika menggubal dasar dan memperkenalkan program untuk memulihkan kemakmuran negara termasuk mengembalikan nikmat kesejahteraan hidup rakyat.

"Kita memerlukan penyelesaian yang tegas dan tuntas untuk mencegah, membendung dan menghapus barah rasuah. Semua pihak secara bersama wajib mengambil langkah berani supaya berlakunya gerakan jihad memerangi rasuah agar negara kembali dimakmurkan dan kehidupan rakyat kembali disejahterakan.

"Pemimpin, media, masyarakat dan rakyat wajib berganding bahu menghapuskan barah rasuah dengan tekad, azam dan kesungguhan memenuhi satu tuntutan fardu kifayah," katanya.

Sementara itu, khutbah tersebut turut menggesa jemaah agar beberapa langkah digerakkan secara bersungguh-sungguh dengan hasrat mahu membangunkan masyarakat yang beramanah.

Langkah pertama dengan meningkatkan iman dan takwa terutama mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan, tugas dan tanggungjawab agar memiliki keinsafan mahu menegakkan kebenaran kerana lebih takut kepada ALLAH berbanding kuasa manusia di dunia.

Selain itu, usaha menerusi pendidikan perlu ditingkatkan dengan menyemai rasa jijik terhadap rasuah bermula dengan keluarga sejak kecil dan diperkukuhkan ketika anak-anak di bangku sekolah.

Rakyat juga disaran agar tidak cepat kecewa malah terus menjadi jurubicara menyuarakan bantahan dan berani ke hadapan mengambil tanggungjawab untuk mendedahkan jenayah rasuah.

Kata beliau, kerajaan pula perlu membuktikan kesungguhan untuk menghapuskan rasuah melalui tindakan-tindakan tegas lagi pantas tanpa pilih kasih dan tanpa gentar.