SHAH ALAM -"Kami menghargai sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor namun ia tidak dapat menghilangkan kesedihan kami sekeluarga".
Demikian luahan Elly Kong, 38, yang kehilangan dua insan tersayang dalam tragedi banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini pertengahan bulan lalu.
Menurut Elly, pemergian neneknya, Chan Ah Poh, 94, dan ibu saudara, Tan Oan Har, 73, akibat tragedi tersebut bukan perkara mudah untuk dilupakan.
"Apa yang menyedihkan, nenek dan ibu saudara ditemui dalam keadaan berpelukan oleh anggota bomba di rumah ibu saudara, pada 20 Disember lalu.
"Saya difahamkan mereka berdua cuba menyelamatkan diri, namun tidak berkeupayaan berbuat demikian lebih-lebih nenek lumpuh dari bahagian pinggang hingga kaki," katanya.
Elly ditemui pemberita selepas menerima bantuan wang tunai sebanyak RM20,000 menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini pada Jumaat.
Katanya menjelaskan, tragedi tersebut juga hampir meragut nyawa ibunya, Tan Wan Ling, 70, yang tinggal di rumah berasingan di Taman Sri Muda, Seksyen 25.
Namun, pekerja swasta itu bernasib baik kerana ahli keluarganya bertindak pantas dengan menyelamatkan ibunya.
"Suami masuk ke Taman Sri Muda pada pagi Ahad dengan bot pasukan keselamatan dan ibu berjaya ditemui di loteng rumah.
"Loteng tersebut dibina sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku banjir lagi, setelah mengambil ikhtibar daripada kejadian banjir pada tahun 1995," katanya yang kini tinggal di Kota Kemuning.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Abdul Talib Kamar, 61, kehilangan abangnya, Yahya Dolah Kamar, 67, dalam insiden sama di Kampung Idaman, Klang
Menurut Abdul Talib, mereka tidak tinggal sebumbung, namun dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa Abdul Talib hilang di rumahnya pada 20 Disember.
"Pihak penyelamat telah menjalankan operasi mencarinya dan dia ditemui di dalam rumah (mangsa) pada 21 Disember.
"Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Selangor atas bantuan ini walaupun wang ini tidak dapat kembalikan nyawa abang," katanya.