SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka mengadakan pertemuan pada minggu hadapan berhubung penggunaan akaun saham oleh adiknya.
Menurut laporan The Star, Azam berkata, perbincangan awal telah pun diadakan dengan pegawai SC mengenai perkara itu dan sedang mengatur panggilan video yang akan diadakan pada minggu hadapan.
"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SC. Tiada isu tentang ini. Saya akan menyediakan dokumen dan maklumat yang diperlukan,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau sedar pendedahan berkenaan adiknya menggunakan akaunnya untuk memperoleh saham telah menimbulkan pelbagai tanda tanya.
"Sebaik-baiknya kita biarkan SC meneliti perkara ini dahulu sebelum saya membuat kenyataan lanjut," ujarnya.
Pada Rabu, SC berkata, pihaknya akan berhubung dengan Azam dan yang terlibat untuk mendapatkan penjelasan serta mengumpul bukti berkaitan penggunaan akaun saham itu.
Mengulas mengenai isu tersebut, Azam berkata, adiknya telah meminjam akaun sahamnya untuk membeli saham dalam pasaran terbuka dan membiayai pembelian itu sendiri.
Ia melibatkan sejumlah besar saham yang dibeli daripada Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd antara tahun 2015 dan 2016 semasa Azam menjadi Pengarah Penyiasatan SPRM.
Azam turut memaklumkan kepada pihak atasan mengenai urus niaga itu dan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam saham yang diambil alih itu dan ia kemudiannya telah dipindahkan ke akaun adiknya.
Penjelasan sama diberikan kepada badan pemantau, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ketika beliau dipanggil untuk menjelaskan perkara itu pada 24 November lepas.
Azam juga berkata, beliau telah memulakan tindakan undang-undang terhadap aktivis anti-rasuah, Lalitha Kunaratnam kerana memfitnah.
"Seperti yang ditunjukkan pada sidang akhbar itu, saya memandang serius pelbagai dakwaan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap saya secara peribadi, keluarga dan SPRM.
"Seperti yang dinasihatkan oleh peguam, saya kini terpaksa memulakan tindakan undang-undang terhadap Cik Lalitha Kunaratnam kerana memfitnah demi melindungi kedudukan baik dan reputasi profesional saya.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan ini terhadap sesiapa sahaja yang menyebar dan membuat dakwaan palsu serta berniat jahat yang serupa terhadap saya atau keluarga saya,” katanya.