KUALA LUMPUR - India komited untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Malaysia melalui peningkatan kerjasama perdagangan dan komersial dalam bidang yang lebih penting pada 2022.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy berkata, pejabatnya akan terus bekerjasama dengan syarikat India yang berpangkalan di Malaysia untuk menjalin kerjasama lanjut dengan industri tempatan.
"Sama ada dari segi program semasa mereka sendiri atau bagaimana kita boleh mengembangkan (kerjasama) ini, yang nyata, kita mempunyai perdagangan dua hala yang agak besar antara India dan Malaysia.
"Sebelum Covid-19, hubungan ini telah mencecah kira-kira AS$17 bilion dalam pelbagai bidang. Pelaburan India di negara ini merangkumi kira-kira 150 syarikat India termasuk mereka yang berada dalam sektor IT,” kata Reddy selepas melawat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama pada Jumaat.
Reddy berkata, 2022 menandakan tahun yang sangat penting bagi hubungan dua hala India-Malaysia kerana ia mencerminkan 65 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
"Ia merupakan tahun ke-30 penglibatan India-ASEAN. Tahun ini juga akan menjadi ulang tahun ke-75 kemerdekaan India,” tambahnya.
Sebelum itu, Reddy diberi taklimat mengenai operasi Bernama dalam pertemuan selama sejam yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarang, Khairdzir Md Yunus.
Dalam pertemuan itu, Reddy menegaskan hasratnya untuk terus bekerjasama dengan Bernama dengan mewujudkan bidang kerjasama baharu antara institusi yang serupa di kedua-dua negara. - Bernama