KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.
Menurut akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital.
"Seperti yang dilaporkan, terdapat insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch pada jam 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia) hari ini.
"Suruhanjaya Tinggi kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa.
"Setakat ini, seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dan kini menerima rawatan di sebuah hospital," menurut tweet itu.
Satu lagi tweet oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyebut mangsa kini dalam keadaan stabil dan isterinya telah dihubungi.
Butiran mangsa belum dikeluarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Christchurch digempar insiden tembakan di dua masjid
Terdahulu, kejadian tembakan berlaku di Masjid Al Noor di tengah Christchurch, berhadapan Hagley Park dan Masjid Linwood di Linwood Avenue.
Pihak polis mengarahkan penduduk agar tidak berada di luar manakala semua sekolah di Christchurch telah ditutup.
Pihak berkuasa juga dilapor mengosongkan kawasan Cathedral Square di mana ribuan kanak-kanak sekolah mengadakan himpunan menangani perubahan iklim.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi juga meminta rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu dan memerlukan bantuan agar menghubungi mereka di talian +64210440188 atau mwwellington@kln.gov.my.
Menurut laporan, polis di New Zealand telah mengesahkan beberapa kematian dalam insiden tembakan di dua buah masjid di bandar Christchurch.
"Seorang telah ditahan, bagaimanapun polis percaya bahawa mungkin terdapat pesalah lain... ini adalah satu insiden yang sedang berlaku dan kami berusaha untuk mengesahkan fakta ini...," kata Polis New Zealand melalui akaun Twitter. - Bernama