Kerajaan ubah nasib 58 gelandangan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bagi tempoh 1 September 2016 hingga 12 November lalu, seramai 58 orang gelandangan menyewa rumah dan mendapat pekerjaan menerusi Program Rumah Bimbingan Gelandangan, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kebanyakan mereka yang menyewa rumah itu adalah gelandangan yang telah menamatkan program transit di Pusat Transit Intervensi Anjung Singgah dan kembali ke pangkuan komuniti bagi program sewaan.

Iklan
Iklan

Yeoh berkata untuk program berkenaan, sebanyak 10 unit Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan dan perumahan Awam Seri Selangor, kedua-duanya di ibu negara, telah dikhaskan bagi golongan itu untuk memulakan kehidupan baharu.

"Mereka boleh sewa rumah berkenaan dengan sewaan RM1 sehari dan unit berkenaan boleh memuatkan seramai empat penghuni. Difahamkan ada 10 unit lagi akan ditambah bagi program ini untuk membantu golongan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai perancangan kementerian dalam memastikan kebajikan keluarga miskin terjaga.

Iklan

Sementara itu, Yeoh berkata kementeriannya bersama-sama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan akan bermesyuarat bagi membincangkan isu pendidikan kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan di negara ini.

Tegasnya isu itu adalah mengenai kebajikan kanak-kanak berkenaan dan bukan bersifat politik.

Iklan

"Oleh itu saya mengundang kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah ini.

"Apabila kita nak bantu nak beri kewarganegaraan, kita dituduh pulak sebagai projek IC 2.0 tetapi kita kena duduk bersama untuk menyelesaikan perkara ini kerana golongan ini (bukan warganegara) semakin bertambah setiap hari,” katanya. - Bernama