JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 3,872 orang pada jam 8 pagi berbanding 3,854 orang pada jam 4 pagi Sabtu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,090 keluarga yang ditempatkan di 56 pusat pemindahan sementara (PPS).
Iklan
Iklan
"Daerah yang terjejas akibat banjir ketika ini adalah Segamat, Tangkak, Muar dan Batu Pahat.
"Mangsa banjir paling ramai masih di Segamat dengan 1,884 orang daripada 514 keluarga di 33 PPS," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, beberapa jalan yang ditenggelami banjir sebelum ini sudah dibuka untuk laluan dan hanya 17 lagi jalan masih terputus hubungan melibatkan sembilan di Muar selain masing-masing tiga di Segamat dan Tangkak serta masing-masing satu di Kluang dan Kota Tinggi.
Sementara itu, Vidyananthan berkata, lima sungai masih mencatatkan paras bahaya melibatkan Sungai Muar di Buloh Kasap pada paras 9.93meter (m) selain Sungai Muar di Kampung Olak Sepam ( 3.51m), Panchor (2.53m) dan Liang Batu di Muar (2.81m).
"Di Kampung Labong, Mersing walaupun paras air sungai sudah menurun tetapi masih pada paras bahaya dengan bacaan 3.82m," katanya.