21 bahan industri dikesan dalam kolam takungan banjir

Iklan
Ching Kim (kanan) melawat kolam takungan banjir di Taman Eng Ann.

KLANG - Sebanyak 21 bahan industri ditemui dalam laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel pencemaran di lokasi kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, di sini.

ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim berkata, buat masa ini keadaan pencemaran di kawasan terlibat berada dalam situasi terkawal dan orang awam diminta untuk bertenang serta tidak menyebarkan maklumat palsu terutama menerusi laman sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya juga masih menunggu hasil keputusan penuh sampel berkenaan untuk menentukan bahan kimia yang dibuang di kolam terbabit dan bentuk tindakan selanjutnya selepas ini.

"Laporan awal daripada makmal mendapati 21 bahan kimia dikesan. Kita masih menunggu hasil keputusan penuh untuk menentukan bahan kimia dibuang. Sejak semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan 'oil bomm' dan 'oil pad' untuk menyerap serta menyekat sisa buangan.

Iklan

"LUAS juga sudah menutup tali Kunci Air Bukit Kuda bagi mengelakkan sisa buangan masuk ke Sungai Klang dan kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan serta dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari,” katanya dalam sidang media di Taman Eng Ann, hari ini.

Keadaan pencemaran di kolam takungan banjir di Taman Eng Ann.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor berkata, siasatan awal mendapati modus operandi pembuangan sisa industri di buang di lokasi berasingan iaitu kawasan takungan air banjir dan beberapa longkang di kawasan sekitar yang menghubungkan laluan air sepanjang 1.5 km ke Sungai Klang.

Iklan

"Sehingga sekarang, sisa industri yang terdapat di kolam takungan banjir itu tidak mengalir ke longkang dan akan disedut sepenuhnya sebelum dilupuskan. Pasukan Forensik polis juga tiba di kawasan kejadian bagi menyiasat kejadian dan mengambil sampel bahan kimia," katanya.

Chang Kim berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dengan pantas berhubung kejadian itu semalam.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Zuraini Ahmad Tajudin turut memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Air Alam Sekeliling 1974.

"Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat terlibat boleh didenda RM100,000 atau penjara maksima lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu. rata-rata penduduk di Taman Eng Ann berharap Kerajaan Selangor dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu pencemaran di sebuah kolam takungan berkenaan.

Ching Kim (dua, kanan) pada sidang media di Taman Eng Ann, hari ini.

Pesara kerajaan, Mary Sebastian, 71, berkata, pencemaran dalam kolam takungan itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 50 tahun menetap di taman perumahan berkenaan.

"Saya agak terkejut juga kerana hanya mengetahui mengenai perkara ini pada pagi tadi selepas nampak kenderaan anggota keselamatan. Sebelum ini kejadian macam ini tak pernah berlaku," katanya ketika ditemui media.

Seorang lagi penduduk, Philip Prem Kumar, 31, berkata, buat masa ini, bau sisa buangan tersebut masih belum sampai ke rumahnya yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian

"Saya tahu mengenai kejadian ini sejak semalam tapi ingatkan tidak begitu teruk. Tapi apabila terdapat banyak kenderaan pihak berkuasa pagi tadi, barulah saya tahu kes ini agak serius.

"Buat masa ini kami belum dapat maklumat ada penduduk yang sakit namun tindakan pencegahan segera perlu dilakukan," katanya.

Menurutnya tindakan segera perlu diambil bagi menggelakkan insiden pencemaran bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang, Johor sebelum ini berulang di kawasan berkenaan.