SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan peruntukan awal sejumlah RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam yang terjejas akibat banjir.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah tersebut disalurkan kepada 51 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bergantung kepada laporan yang diberikan oleh pihak tersebut kepada KPKT.
Menurutnya, peruntukan tersebut tidak termasuk pembaikan dan pembinaan semula rumah, yang mana satu sidang akhbar khas akan dibuat bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk memaklumkan jumlah keseluruhan bagi inisiatif tersebut.
"Peruntukan awal RM50 juta, ini hanya khas untuk pembaikan infrastruktur awam, namun angka itu tidak statik kerana ada kawasan yang masih belum surut banjir seperti di Segamat, Johor. Jadi angka itu akan naik dan bergantung kepada PBT.
"Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah memaklumkan bahawa kos pembaikan rumah berjumlah RM56,000 dan ada juga tambahan daripada pihak lain bergantung kepada kerajaan negeri.
"Tapi pada waktu ini, kita bekerjasama dengan kerajaan negeri dan senarainya akan diberikan oleh kerajaan negeri serta PBT," katanya ketika sidang akhbar Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, KPKT memainkan peranan sewaktu bencana banjir melanda negeri Selangor pada 18 Disember lalu.
Beliau berkata, KPKT mengendalikan operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), disusuli dengan operasi pembersihan melalui agensi di bawah KPKT iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Tambahnya, sebanyak 77,465 tan sisa banjir diuruskan oleh SWCorp meliputi negeri Pahang (27,350 tan), Negeri Sembilan (1,270 tan), Kuala Lumpur (630 tan), Melaka (115 tan) dan Selangor (48,100 tan) menerusi KDEB Waste Management (KDEWM) Sdn Bhd setakat Jumaat.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, KPKT membelanjakan sebanyak RM12.5 juta untuk kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri terjejas banjir, yang mana RM5 juta adalah untuk negeri Selangor setakat ini.
"Saya tidak nafikan usaha ini amat mencabar kerana bila ia berlaku serentak dan pembersihan mengambil masa yang lama, namun kerjasama dengan pihak Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) dan perkongsian aset meliputi tempat pemindahan sementara untuk menyelesaikan kerja pembersihan.
"Kemudian barulah kita selesaikan soal pembaikan rumah dan infrastruktur," katanya.
Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan sisa banjir khususnya longkang-longkang tersumbat.
Operasi pembersihan dibahagikan kepada empat zon melibatkan 1,400 sukarelawan dan 600 orang pekerja pembersihan.
Turut hadir ketika program tersebut ialah Ketua Pengarah JPBM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.