POKOK SENA - Kerajaan sepatutnya mencari mekanisme untuk menurunkan harga barang, bukannya menyuruh rakyat bersedia dengan kemungkinan berlakunya kenaikan harga barang.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia menggambarkan seolah kerajaan sudah tepu dan gagal mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Menurutnya, semua agensi kerajaan dan kementerian terlibat seharusnya duduk berbincang bagi menangani kemelut itu secara bersama.
"Isu ini sudah lama disuarakan pembangkang termasuk dalam Parlimen, sepatutnya semua agensi dan beberapa kementerian yang terlibat dengan kawalan harga barang dapat kemukakan solusi terbaik. Sama ada mereka ada bincang bersama atau tidak, saya tak pasti yang jelas isu ini semakin tepu tanpa penyelesaian.
"Akhirnya mereka suruh rakyat bersedia, manakala kerajaan pula cari mekanisme untuk berdepan kenaikan harga, sepatutnya cari mekanisme untuk turunkan harga barang yang mengalami kenaikan,” katanya selepas meninjau Karnival Jualan Keluarga Malaysia di tapak pekan sehari di Pekan Langgar, di sini pada Sabtu.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mahu rakyat bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
"Saya akui terkejut dengan kenyataan beliau, yang beri gambaran agar rakyat bersedia hadapi kenaikan harga ayam selepas 4 Februari.
"Sekarang harga ayam baru turun 20 sen selepas melambung tinggi beberapa bulan lepas. Kenaikan harga ayam selepas ini kita pun tak tahu berapa banyak. Kerajaan perlu fikirkan penyelesaian terbaik sebab isu ini sudah lama berlarutan, bukan sahaja ayam, sayur, telur, ikan berlaku kenaikan harga, ia tak sewajarnya berlaku,” katanya lagi.
Menurut Mahfuz, pihaknya bimbang kenaikan harga pada Februari akan terus berlaku sehingga berlarutan ke musim perayaan lain dan pastinya membebakan pengguna.
Dalam pada itu, Mahfuz menyambut baik program Karnival Jualan Keluarga Malaysia anjuran KPDNHEP dan berharap ia dapat dikekalkan untuk manfaat rakyat.
"Perlu fikirkan untuk lanjutkan tempoh jualan atau cari mekanisme untuk terus bekalkan barangan pada harga murah. Kalau tak dapat tawarkan harga murah berterusan, mungkin adakan program ini dua kali sebulan.
"Saya dapati gula oleh syarikat swasta dijual RM2.50 di sini lebih murah berbanding harga kawalan RM2.85, kalau kerajaan boleh tawarkan harga murah pada karnival ini, ia dapat kurangkan beban pengguna. Sepatutnya selaraskan harga sama di kedai runcit, barulah kerajaan dapat bantu kurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz berharap agar bekalan minyak peket diperbanyakkan susulan dakwaan bekalan sering tidak mencukupi di beberapa negeri.
"Pastikan bekalan sentiasa ada di kedai runcit kerana ia barangan perlu golongan B40, namun ada rungutan bekalan sering kehabisan.
"Saya juga ingin menasihatkan penguna agar semak harga barang menggunakan aplikasi perbandingan harga barang di kawasan yang dibangunkan bawah KPDNHEP untuk bijak berbelanja,” katanya lagi.