Projek kolam takungan banjir: SPRM arah DBKL lantik juruukur bebas

Iklan
Azam Baki

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik juruukur bebas dan mengemukakan laporan lengkap berkaitan tapak projek pembangunan di kolam takungan di Taman Wahyu, Kepong.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, DBKL diberi tempoh tiga minggu untuk membuat pelantikan dan mengemukakan laporan lengkap itu.

Iklan
Iklan

"Ia adalah untuk melihat sama ada pembangunan yang sedang dibina dilakukan di dalam kawasan seperti yang diluluskan dalam pelan pembangunan.

"Kita harap laporan ini akan disiapkan segera untuk SPRM melengkapkan siasatan dan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang tindakan sewajarnya akan diambil," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di tapak projek pembangunan di kolam takungan di Taman Wahyu, Kepong pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Azam berkata, siasatan awal SPRM mendapati tiada mana-mana dari enam kolam takungan di sekitar ibu negara ditukar status untuk projek pembangunan telah ditambak.

Iklan

"Hanya kolam takungan di Taman Wahyu ini mendapat kelulusan untuk pembangunan dan DBKL belum menerima apa-apa permohonan untuk pembangunan di lima lagi kawasan kolam takungan," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir ditukar status untuk projek pembangunan.

Azam dilapor berkata, SPRM akan menyiasat melibatkan pelbagai aspek termasuk unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera berhubung dakwaan itu yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam berkenaan. - Bernama