PDRM terus kukuh kerjasama dengan Interpol banteras Macau Scam

Iklan
Mohd Kamarudin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menumpaskan jenayah Macau Scam yang mempunyai rantaian sindiket luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mendepani tahun 2022, pihaknya komited untuk melaksanakan tindakan pembanterasan secara lebih agresif bagi memastikan kegiatan sindiket Macau Scam ini dapat ditumpaskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini akan sentiasa mempelbagaikan modus operandi yang digunakan sebagai helah untuk memperdayakan mangsa.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sebanyak 1,585 kes Macau Scam telah disiasat sepanjang tahun 2021.

Iklan

"Hasil soal siasat didapati wujud kaitan antara sindiket ini dengan rangkaian sindiket di luar negara," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambahnya, jalinan kerjasama dengan polis antarabangsa khususnya pihak Interpol juga akan terus dimanfaatkan bagi mengatasi isu-isu yang timbul berkaitan jenayah rentas sempadan ini.

Iklan

Pada Khamis, Mohd Kamarudin mendedahkan, sindiket akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa seperti polis, mahkamah, Bank Negara dan sebagainya sebelum dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.

Bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan pihak sindiket.

Sindiket juga memaklumkan kononnya mangsa ini layak menerima insentif atau bantuan daripada pihak kerajaan sebelum meminta ID dan kata laluan perbankan dalam talian mangsa.

Namun selepas ID dan kata laluan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.