Harga kelengkapan sekolah di Pahang tidak berubah

Iklan
Barangan kelengkapan persekolahan masih dijual pada harga sama seperti tahun sebelum.

KUANTAN - Harga barangan kelengkapan sekolah di daerah ini masih tidak berubah dan kekal sama seperti tahun sebelumnya.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis menjual barangan sekolah di sekitar Kuantan mendapati tiada kenaikan harga barangan persekolahan seperti alat tulis, pakaian seragam dan kasut.

Iklan
Iklan

Harga pakaian seragam sekolah pada harga serendah RM20 hingga RM40 mengikut jenama, kasut sekolah pula antara RM20 hingga RM50, manakala harga purata bagi pakej alatan tulis seperti buku tulis, pensel, pemadam, pembaris, pembalut plastik dan lain-lain dianggarkan RM40 hingga RM50.

Rata-rata peniaga dan ibu bapa mengakui semua barangan kelengkapan persekolahan dijual pada harga lama selepas membuat persiapan bagi pembukaan sesi persekolahan dijadualkan pada Isnin ini.

Iklan

Pekerja di sebuah premis menjual barang kelengkapan sekolah, Aira Adila Abdullah, 34, berkata, kedainya masih mengekalkan harga sama seperti sebelum ini.

Ini berikutan kebanyakan barangan kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis diterima daripada pembekal masih pada harga sama.

Iklan

"Pembekal tidak naikkan harga, jadi kita masih lagi menjual barangan kelengkapan sekolah pada harga sama sebagai contoh, sehelai baju sekolah dijual pada harga RM18 hingga RM30 mengikut jenama.

"Bagi alatan tulis pula mengikut pakej atau boleh juga dibeli secara runcit. Penetapan harga alatan tulis ini kita tidak boleh dianggarkan kerana ia berbeza mengikut jenama tetapi boleh didapati pada kadar harga RM10 ke atas," katanya ketika ditemui Sinar Harian di premis perniagaan di Kuantan pada Sabtu.

Suri rumah, Rahmah Abu Talib, 45, juga mengakui tiada sebarang kenaikan harga bagi barangan keperluan sekolah setakat ini.

Namun menurutnya, dia membeli barangan kelengkapan sekolah seawal mungkin kerana bimbang harga naik memandangkan pada Mac nanti sesi persekolahan baru akan dibuka.

"Saya buat persiapan awal kerana bimbang harga barang sekolah akan naik memandangkan kini kita sudah berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barang keperluan," katanya.

Penjawat Awam, Mohd Azlan Ngah Ibrahim, 40, juga mengakui bimbang harga barangan kelengkapan persekolahan akan naik beberapa bulan lagi.

"Kali ini saya tidak membuat sebarang persiapan kerana anak-anak sekadar pakai apa yang ada sekarang.

"Tapi pada Mac ini, anak saya akan memasuki Tingkatan Satu dan harap ketika itu harga barangan persekolahan masih sama," katanya.

Sementara itu, Munira khalid, 34, mahu kerajaan mengawal harga barangan kelengkapan sekolah bagi memastikannya tidak membebankan ibu bapa.

"Kita sudah berdepan dengan pelbagai kenaikan, jadi kita harap barangan sekolah ini tidak naik. Jika ia berlaku kesian kepada mereka anak yang ramai," ujarnya.