PM serah bantuan kepada mangsa banjir di Pitas

Iklan
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Abdul Rahman Kili, 45, (kiri) pada Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Bakul Makanan Mangsa Banjir Daerah Pitas hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (kanan). - Foto Bernama

PITAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dan bakul makanan kepada ketua keluarga mangsa banjir daerah ini di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas pada Sabtu.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tiba pada jam 2.30 petang, menyampaikan bantuan kepada 35 keluarga serta bertanya khabar kepada mangsa banjir yang hadir di dewan berkenaan.

Iklan
Iklan

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan beberapa pemimpin masyarakat di daerah Pitas.

Seramai 319 mangsa banjir dari 129 keluarga di Pitas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak 31 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022, dan semua mereka akan diberi bantuan itu.

Iklan

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui selepas majlis itu menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun padang ke daerah Pitas.

Majulin Angai, 42, dari Kampung Mangbusu berkata, paras air banjir yang melanda kampung mereka baru-baru ini sangat tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga menyebabkan banyak peralatan rumah musnah.

Iklan

"Saya pasrah dengan kejadian itu dan hari ini saya gembira dan amat bersyukur kerana bukan senang Perdana Menteri untuk datang sendiri ke Pitas untuk sampaikan bantuan.

"Jadi itu saya amat kagum dengan keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat tidak kira di mana mereka berada di pelusuk Malaysia," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Kristina Gidion, 52, dari Kampung Kabatasan Laut, berkata, dia sangat teruja dengan kedatangan Perdana Menteri ke Pitas.

"Perasaan sangat teruja kerana Perdana Menteri sendiri turun ke Pitas... kami dapat merasakan kekeluargaan satu Malaysia yang diuar-uarkan... ia benar-benar wujud apabila Perdana Menteri sendiri melihat kami sebagai mangsa banjir di sini," katanya.

Tinjauan di sekitar Pitas mendapati keadaan banjir telah pulih dengan semua mangsa yang berada di PPS dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Jumaat. - Bernama