RM108.15 juta bantuan banjir untuk Sabah: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada salah seorang mangsa banjir pada Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Bakul Makanan Mangsa Banjir Daerah Pitas hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (kanan). - Foto Bernama

KOTA MARUDU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan sebanyak RM108.15 juta kepada Sabah bagi membantu negeri itu yang terjejas banjir baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM90.86 juta diperuntuk bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat banjir termasuk jalan raya dan jambatan yang menghubungkan penduduk Sabah.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini, kita baru dapat senarai ini (kerosakan infrastruktur awam) dan senarai ini akan disemak oleh Jabatan Kerja Raya serta pihak berkaitan. Arahan saya ialah perlu disegerakan semua bukan sahaja pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) tetapi infrastruktur juga perlu disegerakan.

"Mereka yang terlibat dengan banjir mengalami kesusahan dan kita tak mahu menambah kesusahan mereka apabila infrastruktur di kawasan masing-masing juga terjejas dan rosak. Ini boleh mengganggu mungkin dari segi aktiviti ekonomi mereka, jadi kalau boleh kita segerakan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan BWI dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga Ahli Parlimen Kota Marudu pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak RM1.19 juta diperuntuk bagi pemberian BWI sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir, bantuan barangan keperluan asas (RM3.67 juta) dan bantuan pembaikan kecil rumah RM5,000 (RM2.74 juta).

Iklan

Ia turut meliputi baik pulih rumah maksimum RM14,999 (RM7.81 juta), bina baharu rumah maksimum RM56,000 (RM1.17 juta), baucar diskaun pembelian alat elektrik dan rebat elektrik (RM643,400) dan baucar diskaun pembaikan kenderaan (RM31,000).

Beliau berkata, pengagihan BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara kini mencapai 90 peratus dan akan selesai dalam masa terdekat.

"Saya nak katakan (bantuan ini akan disalur) sebelum mereka balik (ke rumah masing-masing) kalau boleh kita bagi.

"Saya tak nak membandingkan tapi ini merupakan yang terpantas dalam sejarah negara dari segi pembahagian BWI," katanya. -Bernama