SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu menerusi satu mesyuarat bersama ahli-ahlinya pada 18 Disember lalu.
Beliau yang merupakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (TMS), Besut, Terengganu itu turut mengadakan mesyuarakat pertama bagi tahun ini pada Sabtu untuk membincangkan hala tuju persatuan, di samping merangka pelbagai program bagi menjaga kebajikan ahli-ahlinya dari segenap aspek.
Muhammad Nasir berkata, persatuan tersebut kini mempunyai seramai 600 orang ahli aktif yang merupakan alumni TMS dan pihaknya sedang mencari lebih ramai bekas pelajar dari sekolah tersebut untuk menggerakkan aktiviti persatuan berkenaan.
"Kita merangka pelbagai program terutamanya pendidikan anak-anak dan menjaga kebajikan ahli. Mungkin kita boleh beri pelan pendidikan percuma secara dalam talian kerana kita sering berjumpa menerusi aplikasi Zoom dan Facebook Live serta media sosial lain.
"Hal ini bukan sahaja memanfaatkan ahli-ahli persatuan, tapi mereka yang bukan ahli juga boleh menikmati faedah pendidikan percuma yang kita ingin sampaikan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Muhammad Nasir turut merancang untuk membangunkan perniagaan bagi ahli-ahli persatuan tersebut untuk menjana pendapatan sendiri dengan membuka satu pusat sehenti di Besut, Terengganu yang terkenal dengan seni, budaya dan pusat pelancongan seperti Pulau Perhentian.
Ujarnya, pusat sehenti tersebut akan menjual cenderamata yang tidak terhad kepada perhiasan, tapi dalam bentuk lain seperti makanan tempatan yang boleh dibawa pulang oleh pelancong ke negeri atau negara asal mereka.
"Saya berharap kepada alumni TMS agar mendaftar menjadi ahli persatuan ini kerana dengan adanya ahli yang ramai, ia mampu menjana pendapatan persatuan, seterusnya membolehkan entiti ini menjalankan pelbagai program yang dirancang tanpa mengutip dana daripada pihak luar," katanya.