BRASILIA - [DIKEMASKINI] Sekurang-kurangnya tujuh terkorban manakala tiga dilaporkan hilang selepas runtuhan cenuram menimpa tiga buah bot yang membawa pelancong di sebuah tasik di Brazil, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.
Susulan insiden itu, pasukan penyelamat termasuk skuad penyelam dan anggota tentera laut telah dikerahkan ke Tasik Furnas di negeri Minas Gerais untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Iklan
Iklan
Jurucakap bomba, Pedro Aihara memaklumkan kira-kira 32 mangsa turut cedera termasuk sembilan yang perlu mendapatkan rawatan di hospital.
Rakaman video yang kini menjadi tular di media sosial menunjukkan detik cemas ketika serpihan batu besar itu runtuh secara tiba-tiba di tasik yang terbentuk daripada empangan hidroelektrik dan menjadi antara lokasi popular pelancongan di Brazil kerana keindahan air terjun di kawasan tersebut.
Presiden Jair Bolsonaro turut menghantar ciapan semula beberapa rakaman video tersebut menerusi akaun miliknya di Twitter dan mengesahkan tentera laut bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu operasi SAR dan memindahkan mangsa yang cedera. - AFP