PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memuji penampilan sulung pemain mudanya, Lewis Hall selepas berjaya mempersembahkan aksi mengagumkan ketika membantu Chelsea menang ke atas Chesterfield 5-1 awal pagi tadi.
Pemain berusia 17 tahun itu membantu Romelu Lukaku menjaringkan gol pada perlawanan tersebut selain turut terlibat dalam jaringan Andreas Christensen selepas tonggak pertahanan Denmark itu menanduk masuk rembatan Lewis yang gagal ditepis baik oleh penjaga gol Chesterfield untuk jaringan keempat The Blues pada perlawanan ini.
Menurut Tuchel, Hall tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan dan telah membuktikan bahawa dia layak mendapat peluang untuk bermain pada perlawanan ini.
"Dia (Hall) seorang yang baik dan sangat tenang. Dia berjaya membuktikan kepada kami bahawa dia memang layak untuk berada di atas padang selepas terlibat dalam menghasilkan beberapa gol.
"Saya gembira untuknya. Gembira dengan sikap bagaimana kami bermula pada perlawanan ini," katanya.
Pada perlawanan tersebut Timo Werner, Callum Hudson-Odoi, Andreas Christensen, Romelu Lukaku dan Hakim Ziyech berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring pada perlawanan ini selain manakala Akwasi Asante menjaringkan gol saguhati buat Chesterfield.
Dalam pada itu bagi Hall, dia menikmati peluangnya untuk menyinar di hadapan penyokong setia Stamford Bridge selepas sebelum ini hanya memulakan permainan dari bangku simpanan dalam beberapa perlawanan musim ini.
"Sejak saya berada di Chelsea, inilah yang saya usahakan iaitu untuk memberi persembahan terbaik kepada penyokong.
"Pada mulanya ketika melihat nama dalam kesebelasan utama, saya terketar-ketar dan mengambil masa beberapa jam untuk menenangkan diri.
"Ia adalah perkara luar biasa apabila dapat membantu pasukan untuk memenangi perlawanan terutamanya di hadapan keluarga saya dan peminat. Ia adalah perasaan yang luar biasa dan menakjubkan,"katanya.