'Azam perlu berehat sementara atau digantung tugas'

Iklan
HALIM ISHAK

SHAH ALAM - Isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang hangat diperkatakan seharusnya mendorong pemimpin nombor satu itu 'berundur' sementara waktu.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, isu panas tersebut telah menjadi perhatian umum masyarakat Malaysia, malah menarik pandangan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Katanya, pelbagai pendapat dan persepsi dilontarkan oleh netizen di media sosial berhubung isu sensasi tersebut.

MCCF kata beliau, yang merupakan rakan gabungan Rasuah Busters dalam kempen menghapuskan rasuah di Malaysia terpanggil untuk menyatakan pendirian dan pandangan dalam isu Tan Sri Azam Baki ini.

Iklan

"Saya berasa agak hairan kenapa Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sehingga kini menyepi tanpa suara?

"Sedangkan, isu Ketua Pesuruhjaya SPRM ini semakin menjadi perhatian rakyat dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di luar negara.

Iklan

"Apakah peranan GIACC sebenarnya? Apakah langkah yang perlu diambil oleh GIACC apabila melibatkan orang nombor satu dalam SPRM pada hari ini?," soalnya kepada kru Rasuah Busters pada Ahad.

Ujar Halim, mungkin sudah tiba masanya untuk pihak GIACC sewajarnya menasihatkan agar Azam direhatkan sementara waktu atau digantung tugas sehingga siasatan selesai dijalankan.

Tegasnya, perkara tersebut penting demi menjaga integriti SPRM yang sepatutnya 'nampak lebih putih daripada putih'.

Sehubungan itu juga katanya, usaha atau pelaksanaan 'merehatkan' Azam akan dapat membantu negara menangani isu salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.

Selain itu menurutnya, gesaan merehatkan pemimpin nombor satu SPRM itu selaras dengan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional yang telah dilancarkan oleh kerajaan.

"Saya berharap agar Pelan Anti Rasuah Nasional ini tidak akan terjejas akibat isu Ketua Pesuruhjaya SPRM ini sendiri," katanya.

Selain itu Halim berkata, orang ramai dapat melihat dan menilai kenyataan yang dibuat oleh enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) baru-baru ini berhubung isu pemilikan saham oleh Azam.

Jelasnya, kenyataan enam ahli LPPR tersebut menafikan bahawa lembaga tersebut telah mengesahkan bahawa Azam tidak terlibat dalam sebarang salah laku dalam isu pemilikan saham korporat telah mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu tegas Halim, LPPR selaku badan pemantau bebas SPRM seharusnya bebas dalam menyuarakan pendapat tanpa perlu takut atau gentar kepada mana-mana pihak.

"Untuk itu, MCCF memohon kepada pihak kerajaan agar isu berhubung Azam mestilah disiasat oleh satu badan bebas sama ada menerusi Select Committee Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) demi menjaga integriti SPRM yang kini menjadi perhatian dunia," katanya.

Dalam pada itu, Halim turut menyarankan agar tiada pihak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi isu tersebut atas kepentingan parti politik mahupun kepentingan diri sendiri.

Harapan beliau, reputasi dan moral warga kerja SPRM tidak akan luntur disebabkan isu yang melanda Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut.