Obor-obor beracun muncul kembali di pantai Terengganu

Iklan
Gambar obor-obor beracun dikenali sebagai portuguese man o' war yang terdampar di pantai di daerah Marang. Foto: Ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU - Obor-obor beracun dikenali sebagai portuguese man o' war atau nama saintifiknya physalia physalis dilihat muncul kembali di persisiran pantai di Terengganu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan pada Ahad mendapati terdapat obor-obor itu di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang.

Iklan
Iklan

"Setakat pagi ini kita menemukan empat ekor obor-obor yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi obor-obor spesies sama yang terdampar di kawasan pantai," katanya dalam kenyataan, disini, pada Ahad.

Beliau menjelaskan, fasa musim Monsun Timur Laut pada masa ini menjadi antara faktor obor-obor berkenaan terdampar di perairan Pantai Timur.

Iklan

"Kali terakhir spesies hidupan beracun itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.

"Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu.

Katanya, purata panjang sulur sesungut spesies itu boleh mencapai lebih sembilan meter panjang dan diliputi oleh nematocyst yang dipenuhi racun digunakan untuk melumpuhkan, membunuh ikan dan makhluk kecil lain.

"Sengatan obor-obor ini amat menyakitkan. Obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika tersentuh pada badan.

"Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti pantai di kawasan spesies ini ditemui. Walaupun kes yang membawa maut sangat jarang berlaku namun perlu berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, individu yang terjumpa obor-obor ini di lokasi lain diminta segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan terdekat.

"Walaupun obor-obor ditemui sudah mati, individu dinasihatkan untuk tidak menyentuh bangkai obor-obor tersebut kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya.

"Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya.