BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi bakal terlepas aksi berdepan Olympique Lyonnais pada Ahad berikutan masih dalam proses pemulihan setelah disahkan positif Covid-19.
Menurut kenyataan media PSG, Messi telah pulang ke Argentina baru-baru ini dan disahkan negatif tetapi didapati positif setelah menjalani ujian sekembalinya ke Perancis.
Justeru, penyerang berusia 34 tahun itu tidak dibenarkan beraksi dan perlu menjalani proses isolasi.
"Setakat ini, dia (Messi), tidak dibenarkan beraksi kerana setelah menjalani ujian, dia didapati positif.
"Oleh itu, dia akan meneruskan proses pasca Covid-19 secara individu mengikut protokol bagi tempoh beberapa hari akan datang," menurut kenyataan media berkenaan.
Untuk rekod, Messi kini merupakan antara pemain yang dikesan positif setelah kembali daripada berehat ketika saingan Ligue-1 ditangguhkan buat sementara sebelum ini.
Menurut kenyataan media itu lagi, pemain-pemain PSG lain seperti Angel Di Maria, Julian Draxler, Danilo Pereira, Gianluigi Donnarumma dan Layvin Kurzawa turut menjalani proses isolasi ketika ini setelah dikesan positif Covid-19.
Untuk rekod, skuad kendalian Mauricio Pochettino itu kini mengungguli takhta Ligue 1 dengan meraih 46 mata setelah mengharungi 19 perlawanan.