Jualan longgok juga satu kesalahan: KPDNHEP

Iklan
Khalid ketika membuat pemeriksaan penandaan harga di Pasar Besar Ipoh.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengingatkan pengguna agar tidak terpengaruh dengan taktik jualan longgok seperti diamalkan sesetengah peniaga.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, amalan niaga seumpama itu tidak termaktub dalam Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana boleh menyebabkan berlakunya penipuan.

Iklan
Iklan

"Longgok bukan satu daripada unit timbang yang kita gunakan seperti gram dan kilogram, jadi berkemungkinan berlaku manipulasi sebab kita tidak tahu beratnya berapa dan harganya.

"Pengguna selalu ingat jualan seperti ini murah sedangkan ia hanya satu cara untuk menarik perhatian pengguna membeli dan ia bukanlah murah pun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Besar Ipoh, hari ini.

Iklan

Menurutnya, adalah menjadi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa menggunakan unit timbang yang betul.

"Kita memang tidak galakkan peniaga lakukan jualan seperti ini, buat masa ini kita akan beri nasihat supaya tidak lagi menggunakan cara sedemikian,” katanya.

Iklan

Khalid berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, KPDNHEP Perak berjaya mengesan 220 kesalahan gagal mempamerkan tanda harga hasil 14,797 pemeriksaan dijalankan di seluruh negeri.

Katanya, jumlah itu meningkat antara 10 hingga 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu menunjukkan kedegilan peniaga dalam mematuhi penandaan harga di bawah Perintah Kawalan Harga meskipun telah dikuatkuasakan sejak 1993.

"Kesalahan tidak meletakkan tanda harga adalah satu bentuk manipulasi terhadap pengguna, jika peniaga meletakkan tanda harga ianya akan memudahkan pengguna membuat perbandingan antara satu kedai dengan kedai lain, mereka boleh memilih barang mana lebih murah untuk dibeli,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian dilakukan di pelbagai tempat, didapati peniaga sengaja enggan meletakkan tanda harga kerana mahu pengguna datang bertanya agar lebih mudah jualan dibuat dan menyebabkan barangan mereka lebih cepat laku.

Menurutnya, peniaga beranggapan jika diletakkan tanda harga, pengguna hanya lalu sahaja dan sampai satu masa membeli di kedai lain, berbanding tidak meletakkan tanda harga, orang ramai akan bertanya dan mudah mereka untuk memujuk pengguna membeli.

"Itulah taktik yang mereka digunakan, tetapi sebagai penguat kuasa, kita akan sentiasa memantau supaya semua peniaga meletakkan tanda harga, kegagalan boleh menyebabkan peniaga dikenakan kompaun RM50,000 atau denda di mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

"Tindakan ini termasuklah bagi perniagaan dalam talian yang sengaja menggunakan perkataan ‘PM tepi’ kerana ia juga tindakan memanipulasi pengguna,” katanya.

Sejak Januari lepas, KPDNHEP Perak telah mengeluarkan 53 notis atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai kompaun RM51,650 dan rampasan lebih RM460,600.