AKSI pusingan ketiga Piala FA berdepan Aston Villa di Old Trafford pada Selasa, perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh Manchester United bagi mencatatkan kemenangan setelah tumpas 0-1 kepada Wolverhampton Wanderers, 4 Januari lalu bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
United bakal beraksi tanpa tiga pemain melibatkan Paul Pogba yang masih cedera manakala Eric Baily dan Hannibal Mjebri beraksi dalam Kejohanan Negara-Negara Afrika.
Pengendali interim The Red Devils, Ralf Rangnick mahu kesebelasan United yang bakal diturunkan pada perlawanan berkenaan memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan kemenangan berkenaan.
"Kami hampir pasti beraksi tanpa lapan atau sembilan pemain; malah mungkin 10 sebagaimana ketika kami berdepan Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara, sebelum ini.
"Bagaimanapun, kami akan tetap cuba beraksi dengan menampilkan pemain-pemain terbaik kerana kami sedar kami akan berdepan dengan pasukan yang boleh dianggap terbaik juga.
"Pastinya akan berlaku beberapa perubahan, pertukaran pemain, taktikal dan sebagainya, namun sebarang keputusan akhir hanya akan diputuskan menjelang perlawanan,” katanya.
Berdasarkan kepada kesebelasan kemungkinan United yang bakal diturunkan Rangnick, menyaksikan tidak banyak perubahan yang dilakukan pengendali Jerman itu.
Sementara itu, Rangnick mengesahkan pemain pertahanan, Victor Lindelof sudah mula menjalani latihan bersama pasukan setelah disahkan positif Covid-19.
Bagaimanapun katanya, dia tidak dapat memberikan perkembangan terkini mengenai masalah kecederaan dialami Harry Maguire.
"Kembalinya Lindelof dalam sesi latihan adalah berita gembira buat kami, cuma kami difahamkan, Maguire masih belum cukup cergas dan tidak boleh menjalani latihan. Begitu juga dengan Paul Pogba yang hampir pasti tidak diturunkan kali ini.
"Selain itu, kami juga gembira dengan berita yang mengesahkan Luke Shaw dan Scott McTominay kini bersedia untuk diturunkan berikutan hukuman penggantungan ke atas mereka hanya akan bermula dalam tempoh lima hari dari sekarang,” katanya.