Pondan lindungi Long Tiger dipenjara lima bulan

Iklan
Seorang lelaki yang berperwatakan wanita dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan melindungi Long Tiger.

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki berperwatakan wanita dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan melindungi lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Long Tiger.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Rusli Mat, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan melindungi Abdul Hamim Ab Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melindungi Abdul Hamim dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap di sebuah rumah di kebun tebu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani kira-kira jam 3.15 petang pada 28 Disember 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan tahanan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dengan denda ataupun tidak, jika sabit kesalahan.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima panggilan telefon pada jam 10 pagi pada 18 Disember lepas daripada satu nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai Abdul Hamim ataupun dikenali sebagai Long Tiger yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara mahu melarikan diri ke Indonesia.

Abdul Hamim kemudian datang ke rumah tertuduh kira-kira jam 8.45 malam hari sama dan menumpang di kediaman itu lebih kurang selama 11 hari.

Iklan

Tertuduh didakwa dengan pengetahuannya tahu bahawa Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan ketika proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak, Johor.

Rusli didakwa dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hamim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia.

Fakta kes turut menyatakan tertuduh tidak memaklumkan kepada sesiapa mahupun pihak polis bahawa individu dikehendaki itu berada di rumahnya.

Selain itu, sepasukan polis telah datang ke sebuah rumah di kebun tebu Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani untuk menangkapnya semasa tertuduh dan Abdul Hamim berada dalam kediaman itu lebih kurang jam 3 petang pada 28 Disember.

Pihak polis telah mengetuk pintu beberapa kali dengan memperkenalkan diri sebagai polis tetapi tertuduh tidak membuka pintu rumah tersebut dan tidak memberi kerjasama dengan mereka.

Polis mengiringi seorang lelaki yang berperwatakan wanita yang didakwa di Mahkamah Majistret pada Ahad atas pertuduhan melindungi seorang Long Tiger.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan sengaja melindungi Abdul Hamim dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Ruzanna Abdul Rahim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Khairul Azreem memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh melakukan kesalahan serius, mampu membahayakan orang awam dan memberi kesan kepada keadilan mahkamah.

Sementara itu, Ruzanna merayu mahkamah agar dapat mempertimbangkan hukuman penjara paling ringan kerana tertuduh yang bekerja sendiri tidak memiliki pendapatan tetap dan merupakan kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara selama lima bulan kepada tertuduh berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Disember lepas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Long Tiger menjadi buruan polis selepas bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lepas ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Dia juga masih memiliki status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Bagaimanapun, Long Tiger ditahan kira-kira jam 3.15 petang pada 28 Disember lalu di sebuah rumah di Kuala Ketil, Sungai Petani, manakala tiga rakan subahatnya masing-masing difahamkan ditahan di Sungai Petani, Kedah serta Yong Peng dan Batu pahat,Johor melalui satu operasi khas.