Sindiket seludup rokok putih RM8.7 juta tumpas

Iklan
Sazali (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan rokok putih yang diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang pada 28 Disember lalu.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih dianggarkan bernilai RM8.7 juta di Pelabuhan Pasir Gudang, pada 28 Disember lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, rokok putih yang dimuatkan di dalam sebuah kontena itu dikesan kira-kira jam 11.45 pagi hasil maklumat risikan Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang, JKDM Johor.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena terbabit menemukan 7.9 juta batang rokok putih yang dipercayai diimport dari China.

"Anggaran nilai barang kes yang dirampas sebanyak RM3.2 juta dengan jumlah duti cukai sebanyak RM5.5 juta.

Iklan

"Modus operandi kes adalah membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan sebagai kabinet di dalam borang kastam bagi mengelak daripada dikenakan cukai tinggi dan permit import," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini pada Ahad.

Menurut Sazali, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dari syarikat perkapalan ditahan untuk membantu siasatan.

Iklan

Kes disiasat mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) iaitu membuat perakuan tidak betul dan membawa masuk barang tanpa permit.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.