"BENCI betul dengan dia ni, sudahlah kaya, bijak, cantik, ada suami kacak lagi. Kenapa semua orang suka berkawan dengan dia berbanding aku? Apa lebihnya dia? Apa kurangnya aku?"
Kata-kata ini acapkali kita dengar tatkala menonton drama di televisyen.
Bahkan ia juga berlaku dalam dunia realiti di sekeliling kita, bukan?
Ada sahaja orang yang menyimpan sikap dengki-mendengki sesama manusia, kadang kala sesama rakan malah juga dalam kalangan adik-beradik atau saudara-mara sendiri.
Kenapa setiap manusia itu berbeza-beza? ALLAH SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.
ALLAH SWT juga menjadikan setiap hamba-Nya ada kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian.
Menerusi ujian tersebut, keimanan seorang hamba akan dinilai oleh Sang Pencipta.
Adakah kita benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan?
Dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim & Ahmad)
Pengajaran daripada hadis ini, seseorang hamba yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur dan menjauhi hasad dengki serta mengurangkan kerisauan hati kerana mengejar harta duniawi.
Bagaimana caranya? Iaitu melihat kemiskinan dan musibah ke atasnya dengan memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.
Apabila kita memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan fizikal, ia akan menyebabkan keinginan atau kerunsingan kita bertambah.
Inilah yang boleh membawa kepada sifat dengki dan mengikis sifar syukur.
Sebaliknya, jika kita memandang kepada seseorang yang kurang daripada diri kita, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan berasa cukup dengan pemberian ALLAH SWT.
Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Semoga kita dijauhkan daripada sifat hasad dengki ini.
(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)