Lonjakan 270 peratus kes jangkitan global Covid-19

Iklan
Jumlah kematian akibat Covid-19 bagaimanapun dilaporkan berada pada paras terendah sejak Oktober 2020. - Foto Agensi

PARIS - Dunia merekodkan lebih dua juta kes harian Covid-19 antara 1 dan 7 Januari lalu yang menyaksikan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh 10 hari.

Data AFP berdasarkan statistik rasmi dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan kebangsaan mendapati 2,106,118 kes direkodkan secara purata dalam tempoh seminggu sejurus angka kes mencecah sejuta pada 23 hingga 29 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Ia sekali gus menunjukkan kes baharu global melonjak kepada 270 peratus sejak kemunculan varian Omicron yang dikenal pasti di Afrika Selatan pada akhir November lalu walaupun beberapa kajian awal mendakwa virus bermutasi itu tidak meningkatkan risiko untuk dimasukkan ke hospital dan hanya bergejala sederhana.

Meskipun kes jangkitan melonjak, jumlah korban akibat Covid-19 dilaporkan berada pada paras terendah sejak Oktober 2020 dengan hanya 6,237 kematian sehari secara purata pada tempoh sama antara 1 dan 7 Januari lalu.

Iklan

AS, Itali, Belgium dan beberapa negara di Eropah Timur bagaimanapun mencatatkan jumlah kumulatif kematian tertinggi.

Data kematian di Britain juga tujuh peratus lebih tinggi berbanding negara blok Kesatuan Eropah (EU) selepas negara itu kini berdepan peningkatan luar biasa kes jangkitan akibat penularan Omicron.

Iklan

Bagi menghadapi ancaman gelombang jangkitan baharu, beberapa negara mula mengambil langkah untuk melaksanakan semula sekatan dan mempercepatkan program vaksinasi sebagai usaha mengekang penularan wabak tersebut.

Negara Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kekal menjadi titik panas pandemik itu yang menyaksikan kedua-dua rantau tersebut menyumbang 49 peratus dan 33 peratus daripada kes jangkitan global pada minggu lalu manakala kes baharu di Afrika dilaporkan kekal stabil. - AFP

Info

>Kes jangkitan di Eropah meningkat sebanyak 47 peratus manakala AS dan Kanada merekodkan lonjakan sebanyak 76 peratus berbanding minggu sebelumnya.

>Dalam tempoh sama, sebanyak 224 peratus peningkatan kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Oceania, 148 peratus di Amerika Latin dan Caribbean, 116 peratus di Asia Barat dan 145 peratus di Asia.