PERSEKUTUAN Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan pasangan adik-beradik, Naquib Azlan dan Nabil Azlan akan mewakili negara bagi acara eRacing GP yang akan dipertandingkan buat julung kalinya pada Kejohanan SEA eSports (SEA EC) pada 9 Januari ini.
Naquib dan Nabil yang mendominasi pusingan kelayakan kebangsaan pada 3 Januari lalu, menafikan peluang Ayman Aqeem yang meraih tempat ketiga.
Naquib yang merupakan abang kepada Nabil, memenangi pusingan kelayakan selepas mendahului selesa pada pusingan kelayakan.
Untuk rekod, Naquib merupakan juara dua kali kategori emas bagi eRacing GP manakala Nabil yang sentiasa mengekori rapat abangnya itu pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Toyota Gazoo Racing Velocity Esports pada tahun lalu.
"Saya sangat berbangga dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia bersama-sama adik saya Nabil. Ini merupakan peluang terbaik untuk kami mempamerkan aksi yang terbaik serta mencabar pelumba serantau,” kata Naquib.
Dua pelumba terbaik dari tujuh negara akan berentap pada pusingan akhir yang akan berlangsung 9 Januari ini.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Vietnam dan Filipina.
Dalam pada itu, bagi pengasas eRacing GP, Alex Yoong berkata, dia tanpa berselindung amat teruja apabila buat kali pertama eRacing dipertandingkan dalam SEA EC.
"Ini adalah satu pengiktirafan buat warga sukan permotoran.
"Saingan sudah pasti akan lebih menarik memandangkan semua negara menghantar pelumba terbaik mereka," katanya.
Pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah USD$10,000 (RM42,090) dan aksi pusingan akhir akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro eGG Network jam 11:45 pagi pada Ahad ini.
Kejuaraan SEA EC dilangsungkan di Vietnam pada 2 hingga 16 Januari menghimpunkan 52 buah pasukan dari 10 persekutuan sukan elektronik seluruh Asia Tenggara yang akan bertanding untuk merebut wang tunai berjumlah USD$140,000 (RM589260).