Tidak boleh bergantung kepada pengeluaran KWSP setiap kali bencana

Iklan
Pengeluaran i-Citra RM10,000 wang daripada KWSP untuk mereka terjejas bencana banjir baru-baru ini bukan satu jalan penyelesaian baik untuk mangsa-mangsa banjir, kata pakar berkaitan kewangan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pengeluaran i-Citra RM10,000 wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini bukan satu jalan penyelesaian yang baik untuk mangsa-mangsa banjir, kata pakar berkaitan kewangan.

Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengeluaran KWSP akan menyebabkan simpanan persaraan pada hari tua berkurang.

Beliau berkata, purata umur rakyat di negara ini adalah 75 tahun dan sekiranya mereka bersara pada umur 55 tahun, mereka akan mempunyai 20 tahun lagi untuk hidup sebagai pesara.

"Dalam 20 tahun itu memerlukan RM1,000 untuk keperluan bulanan, maka simpanan mereka kena ada RM240,000. Tapi apa yang berlaku sekarang, secara purata, pencarum KWSP hanya mampu RM42 sahaja sebulan berdasarakan purata simpanan pencarum sekarang,” katanya ketika dihubungi.

Ahmed Razman berkata, tidak semua pencarum akan menikmati manfaat daripada kebenaran mengeluarkan dana RM10,000 memandangkan lebih kurang 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada masa ini.

Isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar itu kembali hangat diperkatakan apabila terdapat beberapa pihak mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran itu untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam musibah banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua berikutan kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk kewangan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Selain bantuan wang ihsan RM1,000, kerajaan turut memberikan baucar tunai bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik, pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan dalam banjir dan bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000 dan bagi rumah yang musnah, peruntukan sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah yang dibina baharu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

KWSP dalam kenyataan baru-baru ini pula menyebut skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh perintah K

kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Menurut KWSP, walaupun skim pengeluaran itu memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik Covid-19 dan PKP, ia menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

Senada dengan pendapat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, pengeluaran wang simpanan untuk hari tua itu tidak boleh dijadikan sebagai satu kebiasaan untuk dikeluarkan setiap kali dilanda bencana.

Beliau berkata, rakyat melihat bencana banjir sebagai peluang mengeluarkan wang simpanan KWSP dan sekiranya ia menjadi kebiasaan, pengeluaran itu akan dilakukan secara berterusan menyebabkan simpanan rakyat semakin berkurang pada masa depan.

"Kalau biasa gunakan peluang untuk keluarkan KWSP itu, nanti umur sudah 60 tahun nak guna bantuan daripada mana lagi kalau sudah tidak ada simpanan dalam KWSP untuk pengeluaran jika sentiasa guna ketika kecemasan.

"Kita faham orang yang terlibat (banjir), nak (guna) duit untuk teruskan kelangsungan hidup, jadi kalau nak jadikan KWSP satu-satunya punca untuk meneruskan kelangsungan, jika (individu) ada RM1,000 (dalam KWSP) nak bagi RM500? Jumlah itu mungkin boleh beli makanan untuk sebulan kemudian bulan seterusnya kita masih perlukan (duit),” katanya. - Bernama