SEREMBAN - Bagi menampilkan kelainan, seorang guru sanggup berbelanja sehingga RM10,000 untuk menghias pusat tuisyennya di Taman Seri Telawi di sini bertemakan flora dan fauna.
Semua itu dilakukan Mohd Badrul Azhar Zulkapli, 34, semata-mata bagi menaikkan 'mood' pelajar untuk belajar di pusat tuisyennya.
Mohd Badrul mahu mengubah persepsi sesetengah pelajar yang beranggapan pusat tuisyen tempat yang membosankan.
"Saya sudah pernah mengajar lebih 10 pusat tuisyen di sekitar daerah Seremban yang kesemuanya hanya 'ditemani' papan putih, kerusi dan meja.
"Bagi saya kita perlu menampilkan suasana menarik supaya pelajar lebih seronok datang tuisyen. Saya memilih tema flora dan fauna kerana dekorasinya dapat menyegarkan pelajar," katanya kepada Sinar Harian.
Guru di sebuah sekolah swasta itu memberitahu dari segi psikologi warna hijau dapat membantu menaikkan 'mood' seseorang dan memberi suasana tenang.
Selain itu. beliau tidak kisah berbelanja lebih bagi memberi keceriaan dan keselesaan kepada pelajarnya.
"Pusat tuisyen saya sudah beroperasi lima tahun dan menghiasnya dengan kos keseluruhan dianggarkan RM10,000.
"Saya mahu pelajar rasa teruja dan ada ibu bapa yang datang ke sini memberi pandangan yang mereka seperti berada di butik pengantin," katanya.
Sementara itu seorang pelajar, Juwana Batrisya Adilah Sheh Ashwadi, 17, mengakui tidak pernah melihat pusat tuisyen dihias secantik itu.
Katanya, peluang mengikuti kelas di situ memberi satu suasana baharu sekali gus dapat meningkatkan semangatnya untuk belajar.
"Pertama kali datang tuisyen di sini, saya tidak sangka dekorasinya meriah dengan hiasan pokok dan bunga plastik.
"Bagus juga jika lebih banyak pusat tuisyen dihias cantik seperti ini dan tidak membosankan," katanya.