Empat nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

Iklan
Empat nelayan menggunakan bot nelayan tempatan kelas B ditahan selepas dikesan melakukan aktiviti menunda pada jarak 4.1 batu nautika barat Kuala Selangor pagi Ahad.

KUALA SELANGOR - Gara-gara melanggar syarat sah lesen, empat nelayan yang menggunakan bot nelayan tempatan kelas B ditahan berikutan melakukan aktiviti menunda di kedudukan 4.1 batu nautika barat Kuala Selangor pada pagi Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, empat nelayan termasuk tekong berumur lingkungan 35 hingga 44 tahun itu ditahan semasa rondaan rutin 'Ops Ehsan' pada jam 7.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru dan dua daripada mereka warga Myanmar.

"Dua kru warga Myanmar menggunakan dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh serta gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri terkini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohammad Rosli berkata, semua kru ditahan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menunda kurang dari lima batu nautika.

"Dua kru warga Myanmar akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen pengenalan diri tamat tempoh," ujarnya.

Iklan

Beliau memberitahu, bot dan kesemua kru ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

"Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.